Pagi Tasyrik ke dua baru-baru ini, Ayah Ngah ikut serta dalam majlis korban di rumah Tok Ketua Kg. Pasir Pandak. Selesai sarapan pagi, majlis pun dimulakan dengan acara menangkap lembu korban yang terlucut tali tambatannya. Sekitar setengah jam juga Ayah Ngah bersama penduduk kampung bermain aci ligan dengan si lembu. Menjelang jam 11 .30 pagi, daging korban sudah sedia diagihkan. Majlis korban ini biasa sahaja sebagaimana majlis korban yang lain tetapi apa yang menarik ialah isu di sebalik program ini.
Majlis korban ini berpunca dari seekor lembu korban (sumbangan Memanda MB khabarnya) yang diserahkan oleh Tok Ketua kepada Pemuda UMNO Cawangan Pasir Pandak untuk diuruskan. Pihak Pemuda UMNO Cawangan Pasir Pandak yang sudah sekian lama kehilangan arah disebabkan Ketua Pemudanya yang tidak lagi berminat untuk bergiat di peringkat cawangan telah meminta sokongan Pergerakan Pemuda Bahagian bagi menjayakan majlis korban ini. Pihak Pemuda Bahagian telah bersetuju turun padang untuk bersama-sama menjayakan majlis korban tersebut.
Kerana terlalu kecewa dengan sikap Ketua Pemuda mereka, Pemuda UMNO Cawangan Pasir Pandak telah menganjurkan program korban ini atas nama Pergerakan Pemuda Bahagian. Ayah Ngah dengar khabar Ketua Pemuda Pasir Pandak ni dah berjaya menapak di peringkat bahagian dan dah tak ada masa untuk bersama pemuda di cawangan. Beliau telah sekian lama langsung tidak memperdulikan cawangannya dan terlalu sibuk di peringkat bahagian (kononnya).
Pada pandangan Ayah Ngah, masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh Pemuda Cawangan Pasir Pandak, malah banyak lagi cawangan yang mengalami permasalahan yang sama bukan sahaja sayap pemuda malah peringkat induk. Masalah sebeginilah sebenarnya yang membarah sehingga ke akar umbi apabila kepercayaan disandarkan pada seseorang pemimpin cawangan untuk menegakkan perjuangan bersama dijadikan tapak untuk perjuangan peribadi. Ahli di peringkat akar umbi merasakan seolah-olah mereka hanya dijadikan batu loncatan untuk kepentingan peribadi seseorang.
Tindakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lumut kali ini sangat menarik perhatian Ayah Ngah kerana boleh dijadikan contoh teladan kepada pemimpin di peringkat atasan bagaimana komitmen seorang ketua amat perlu bagi menyelesaikan masalah di akar umbi. Bak kata pepatah, ular menyusur akar takkan hilang bisanya !
Budaya hanya pandai mengarah, lepas tangan, sekadar pandai bercakap dan seumpamanya telah mengakis penghormatan ahli terhadap pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan bahagian. Inilah antara masalah yang membarah dalam UMNO masa kini. Pada pandangan Ayah Ngah, UMNO kini bagai kehilangan taring bukanlah kerana pihak lawannya semakin gagah, sebaliknya berpunca dari sikap pendokong UMNO itu sendiri.
Amalan budaya "cantas mencantas", "Nadim dibunuh", "enau dalam belukar", dan yang seumpanya amat perlu ditangani supaya tidak menjadi "lana membalut tunggul" !




Jangan dijadikan masalah
Ayah Ngah dengar banyak masalah dalam UMNO hari ini tapi apa yang Ayah Ngah dapat tahu semuanya masalah peribadi individu UMNO samada di peringkat ahli mahu pun di peringkat kepimpinan. Ayah Ngah rasa UMNO masih releven sebagai gagasan kesatuan orang Melayu cuma masalah individu dalam UMNO itulah yang menjadikan UMNO bagai kehilangan taring. Ayah Ngah selalu dengar masalah individu dalam UMNO diperkatakan malah dibincangkan panjang lebar sehingga berbulan-bulan namun tiada satu pun penyelesaian yang dapat dikemukakan. Paling baik buah fikiran yang ada ialah "tunggu pemilihan akan datang".
Di musim PRU semakin hampir ini, "tunggu pemilihan akan datang" bukanlah jalan penyelesaian masalah yang boleh dibuat pakai. Sebaiknya, fenomena ini jangan dijadikan masalah. Jika pemimpin di peringkat cawangan menjadi masalah, maka penjawat jawatan yang lain malah ahli biasa sekali pun perlulah memainkan peranan menggerakkan kerja-kerja di cawangan tanpa perlu menunggu keputusan 'pemimpin lembab' bagai menunggu buah tak gugur. Ayah Ngah rasa keterbukaan UMNO di peringkat atasan boleh dimanfaatkan sebagai alternatf bagi menangani masalah 'pemimpin lembab' ini. Ahli biasa di peringkat akar umbi sekali pun boleh berhubung dengan pemimpin atasan UMNO untuk menyarankan permasalahan di cawangan jika perlu. Apa yang penting ialah cadangan yang bernas dikemukakan bukanlah aduan masalah 'pemimpin lembab' yang memang dah sedia maklum pun sebenarnya.Memang Ayah Ngah sedia maklum, ada ahli biasa di peringkat cawangan menggerakkan idea yang bernas tetapi 'dicop' membelakangi ketua. Pada pandangan Ayah Ngah jika kerja yang baik dilaksanakan, tak perlulah berkecil hati dengan suara-suara begini. Apa yang penting kita sendiri tahu apa yang kita kerjakan adalah untuk kebaikan bersama. Janganlah kita mudah mengalah dan mengambil keputusan mengundur diri. Ini akan menyebabkan UMNO akhirnya 'tinggal serdak' pula .
Jangan Sampai Tinggal Serdak
Biasanya selepas musim raya, kuih raya yang disimpan dalam bekas akan habis dan cuma tinggal sisa serpihan kuih yang hancur di dasar bekas.Inilah yang dipanggil 'serdak'. Dalam konteks UMNO hari ini, akibat ramai bijak pandai di peringkat akar umbi mengambil keputusan menyepi diri, berkecuali malah mengundur diri kerana kurang senang dengan pemimpin yang tidak proaktif di peringkat cawangan, maka yang tinggal dalam Cawangan UMNO itu akhirnya dapatlah diumpamakan 'tinggal serdak'. Orang Melayu di peringkat akar umbi sewajarnya memainkan peranan membantu mengemaskan UMNO di peringkat cawangan bukanlah sekadar menuding jari kepada 'pemimpin lembab' yang terlantik dari kalangan 'serdak' yang ada.
Biasalah kalau golongan 'serdak' sering merasa 'tergugat' dengan kehadiran individu dari golongan 'bijak pandai'. Dalam hal ini kita perlu mencari jalan kompromi yang benar-benar bijak dan kreatif supaya tiada sesiapa yang terasa 'tergugat'. Jika kita benar-benar bijak, pasti kita akan 'dapat akal' menangani permasalahan ini. Bukanlah kita tergolong dalam golongan bijak jika kita hanya pandai menujukkan kelemahan orang lain sebaliknya orang yang bijak ialah orang yang mampu memperbaiki kelemahan diri dan kelemahan orang lain juga. Janganlah dipersalahkan 'pemimpin lembab' itu sebaliknya bantulah dia dengan apa cara yang wajar walau pun dengan cara 'menjemurnya' !